Tiada respon daripada ‘groupmate’

Salam. Ape kabar? Camne ngan progress keje grup kite?” sebuah sms dihantar oleh Shah kepada Abu, kawan seprojeknya.

Shah perlu mengetahui perkembangan Abu kerana tugas Shah sangat bergantung kepada kerja Abu. Tanpa kerja Abu, Shah tidak mampu memulakan tugasnya. Begitulah kebiasaan bekerja dalam kumpulan, saling mengharap pada satu sama lain ibarat permainan domino.

Sejam lebih menanti, tiada sms untuk dibalas. “Tiada credit barangkali untuk membalas,” Shah cuba mengubat hatinya yang mula dibisik syaitan agar bersangka buruk kepada Abu. Lantas dibuka “phone book” telefon bimbitnya untuk mencari Abu,

Abu 0123658754

Punat “Call” ditekan..

Tut…tut…tut… sehingga kedengaran suara wanita yang bercakap bahasa Inggeris yang memberi arahan agar Shah meninggalkan pesanan suara. Sekali lagi punat “Call” ditekan, tiada jawapan. Sekali lagi…hingga kali yang kelima.

Shah mula gelisah, kerana tarikh akhir kerja berkumpulan mereka sudah terlalu hampir. Tapi untuk sekian kali Shah menghubungi selepas 30 minit panggilan kali kelima, masih tiada respon. Tidurkah? Tapi jam sudah menunjukkan jam 12.00pm. Tidak seharusnya Abu terlajak tidur memandangkan terlalu banyak tugasan untuk disiapkan.

Cubaan masih diteruskan pada sebelah petangnya, tapi masih tiada respon daripada Abu. Sakitkah dia? Shah berteka teki dalam diri. Mungkin Abu tidak sihat sehingga dia gagal untuk menjawab sebarang panggilan. Shah mengharapkan agar Abu dapat ditemui di kelas. Tapi harapan hanya tinggal harapan. Abu juga gagal untuk menghadirkan diri di kelas…

Ingin ke rumah, Shah tiada alamat Abu. Abu hanya tinggal berseorangan. Mahu tidak mahu, Shah terpaksa mengusahakan tugasan yang ditinggalkan oleh Abu. Berusahalah Shah siang dan malam sehingga banyak juga kelas yang terpaksa di“pontengnya”.

Akhirnya 3 hari sebelum tarikh akhir penghantaran, Abu muncul di kelas dengan air muka yang selamba. Apabila Shah bertanya tentang kehilangannya selama ini, Abu dengan selamba berkata,

“Sorry bro. Aku ada masalah dengan “teman” aku. Aku takde mood sejak beberapa hari kebelakangan ini.”

“…” tak terlafaz dek kata-kata Shah menerima alasan yang sebegitu “kukuh”. Sudahlah setelah sekian lama tidak memberi respon. Kemudian respon yang diberikan pula adalah selekeh itu….

Fiksyen lagi…

Ya, sekali lagi watak dan perwatakan dalam kisah di atas hanyalah fiksyen semata yang terbuka kepada banyak tafsiran. Sejak akhir-akhir ini saya sering berbincang dengan sahabat bernama Syukri berkaitan dengan sastera dan beliau ada mengungkapkan sememangnya sifat sastera memang terbuka kepada pelbagai tafsiran membaca.

Sungguhpun begitu, kadang kala pengarang sesebuah karya akan mempersembah tafsirannya sendiri terhadap karyanya sendiri. Hal ini pernah juga dilakukan oleh SN Shahnon Ahmad dalam beberapa karya beliau.

Eh, melencong kepada kisah sastera pula, maaf.

Seandainya anda…

Tabiat ketiga dalam himpunan 7 tabiat orang yang efektif karangan Stephen Covey adalah “seek to understand then to be understood.” Ust Hasrizal juga dalam beberapa artikel beliau ada menyebutkan, bahawa inilah tafsiran beliau dalam memahami dakwah secara berhikmah.

Bahkan, buku Metodologi Dakwah yang dikarang oleh Dr Abd Aziz M. Zin pensyarah Jabatan Dakwah APIUM juga ada menceritakan konsep yang hampir seiring. Eh, melencong lagi…ke perbincangan buku pula…

Apa pun, dalam usaha untuk menanam sikap ini dalam diri, adalah dengan cuba bersifat “empathy” terhadap kisah yang kita lihat ataupun baca. Maka bayangkan anda adalah Shah dalam kisah di atas.

Seperti soalan karangan PMR pula, sila sambung kisah di atas. Sekiranya anda, apakah reaksi anda terhadap Abu yang bukan sahaja gagal memberi respon dalam masa yang ditetapkan bahkan memberi respon yang salah pula.

Sekadar terkaan saya, jawapan yang benar-benar lahir daripada hati anda.

“Tak guna kau, masalah kecik….”

“%&^*&^*…”

“Hampeh ar kau..ko ingat ko sorang je ke ada “teman”!!” “(tanpa dialog)” lantas buku limanya singgah ke pipi Abu. (Amboi, ekstremnya)

“Takpelah. Moga kau berbahagia…” (mungkinkah ini satira ataupun terlalu baik hati anda?)

Walau apa pun yang tertulis, pastinya yang pertama terdetik di hati adalah kekecewaan yang berelovusi menjadi kemarahan. Marah kerana Abu gagal memberi respon ketika saat respon itu diperlukan, bahkan memberi respon yang salah pula ketika membuka mulut.

Adakah kita mengadaptasi “akhlak” Abu?

Di dalam skop yang kecil di atas, mungkin jauh sekali kita mengadaptasi akhlak Abu dalam pergaulan harian kita. Sekiranya kita besarkan skop perbincangan kepada persoalan masyarakat dan sosial negara serta politik, marilah kita bersama muhasabah, adakah akhlak Abu menjadi ikutan, iaitu mengambil sikap tidak responsif kepada apa-apa perubahan dan “seruan” daripada masyarakat dan negara.

Kisah kehilangan adik Sharlinie, isu PTPTN riba atau tidak, dan sama ada anda suka kepada politik atau tidak, dan kini adalah kehangatan PRU-12. Rasanya dalam menghuraikan keperluan untuk mengambil tahu perihal politik, perbezaan antara orang yang ambil peduli politik dan ahli politik, telah dihuraikan dengan begitu baik oleh Ustaz Hasrizal yang boleh dibaca di http://saifulislam.com/?p=1000

“Ala, kita yang tengah menuntut di luar negara, bukan boleh mengundi pun. Tawaran undi pos pun telah tamat tempoh..”

“Aku tahun hadapan baru boleh mengundi, nanti la aku fikir pasal politik ni…”

“Kita ni pelajar. Tak perlu sibuk-sibuk dalam politik ni…”

Mungkin inilah respon kita terhadap isu PRU-12 yang semakin hangat dalam negara. Bukanlah medan penulisan ini untuk menjawab betul salah mengenai persoalan tentang kerelevanan untuk berfikir berkaitan politik semasa masih bergelar mahasiswa.

Tanyalah diri anda, ketika mana negara dan rakyat sedang “menyeru” kepada perubahan, adakah suatu tindakan yang tepat untuk kita mengambil sikap seperti yang kata-kata di atas yang seolah-olah sama sahaja seperti sikap Abu? Hanya kerana kita bermasalah dalam membuang undi, pelajar atau apa-apa sahaja yang mampu dijustifikasi sebagai masalah, maka abaikan sahaja “seruan” itu.

Akhlak seperti Abu hendaklah kita perangi daripada sekecil-kecil skop sehinggalah sebesar skop hingga kepada persoalan kenegaraan. Maka apakah tindakan kita untuk menyahut seruan perubahan dalam PRU-12?

Sekurang-kurangnya, lakukanlah suatu perbuatan yang paling mudah, hampir setiap masa boleh dilakukan, iaitu berDOA, moga-moga Allah menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman, moga tersubur biah yang soleh dan terkuburnya biah yang tholeh dalam Negara selepas tertubuhnya kerajaan yang baru nanti… Amiin

Selamat mengundi bagi warganegara yang boleh mengundi. Masanya telah tiba untuk berubah…(2 hari lagi…)

Shah2873

P/S:

Tindakan yang lebih proaktif tidaklah sekadar berdoa tanpa usaha. Untuk lain-lain usaha tidak saya perincikan di sini, kerana khuatir penulisan akan lebih berjela-jela.

Watak dan kisah di atas hanyalah rekaan semata.

 

Advertisements