Aku takde masa?? 

“Aku takda masa ar…”

“Aku sibuk minggu ni…”

Pelbagai lagi ayat yang biasa kedengaran. Betul atau tidak, hendaklah kita bersangka baik. Percubaan memahami niat seseorang hanya menimbulkan syak wasangka yang sekaligus menjemput jarum sang syaitan di hati kita. Tambahan, hal ini hanya akan membuat jiwa kita tertekan kerana sangkaan-sangkaan kita.

Merenung jauh

Merenung jauh… 

Rasanya ayat-ayat di atas tidak sekadar didengar, tetapi kita juga turut sama mengungkapkan. Saya juga tidak terlepas daripada mengungkapkan ayat-ayat tersebut. Kenapa lama tak update blog. kenapa lama tak datang rumah dan pelbagai soalan yang sering kali diri ini akan menggunakan alasan tidak cukup masa. Benarkah?

Kenangan di KMB

Isu sama ada tidak cukup masa atau kurang mahir mengurus masa telah saya pelajari sepanjang pengajian di KMB, ALhamdulillah. Menjadi sebahagian daripada pimpinan mahasiswa KMB telah menyebabkan hampir saban hari disibukkan. Mahu tidak mahu, sedikit sebanyak, masa kepada akademik terpaksa dikurangkan. Alasan? Sekali lagi, tak cukup masa.

Setelah tamat penggal memimpin, sedikit sebanyak saya dan rakan-rakan bersyukur kerana kini kami berpeluang untuk mengalihkan fokus kepada akademik kami.

Seharusnya masa untuk mengadap buku dan berdiskusi ilmiah dengan rakan-rakan siswa lain berkaitan dengan subjek lebih giat dapat dijalankan. Tetapi hal tersebut tidak berlaku. Apa yang berlaku adalah waktu malam yang seringkali saya gunakan untuk membincangkan masalah-masalah siswa dan merangka program, telah saya gunakan untuk berborak-borak dengan rakan seblok bahkan blok yang lain juga.

Setelah beberapa minggu keadaan itu berlaku, saya mula tersedar. Kalau sebelum ini tidak cukup masa adalah alasan yang munasabah, kini apa lagi alasan saya, andai assigment tidak dapat disiapkan? Tak cukup masa, atau sebenar saya sendiri yang tak bijak dalam mengurus masa?

 

pict0005.jpg

Kenangan di Mount Buller 

Kononnya ikut Fiqh Keutamaan

Buku bertajuk Fiqh Keutamaan karangan Sheikh Qaradhawi benar-benar mewujudkan titik perubahan dalam hidup saya. Pelbagai ‘blind spot’ ummat Islam telah diterangkan dalam buku tersebut.

Antara yang menarik adalah kesilapan umat dalam melebihkan hal yang sunnah (mengikut istilah fiqh, atau bahasa kita, sunat) daripada hal yang wajib. Sebagai contoh beliau telah menceritakan bahawa tindakan seorang Muslim untuk berpuasa sunnah sehingga menyebabkan tubuhnya lemah sehingga menjejaskan produktiviti dan amanahnya sebagai seorang pekerja adalah sesuatu yang tidak patut kerana puasa itu sunat manakala amanah itu wajib. Maka menurut keutamaannya, adalah lebih baik untuk Muslim tersebut untuk tidak berpuasa, dan mampu memberikan yang terbaik terhadap amanahnya.

Mungkin kerana terlalu tergopoh gapah dalam mengamalkan ilmu yang baru, saya sering meninggalkan amalan-amalan sunnah yang sunat seperti berwirid dan solat sunat rawatib atas alasan saya perlu segera ke kelas untuk menyiapkan assigment. Assignment adalah amanah maka ia menjadi kewajipan untuk saya siapkan.

Namun, apa yang berlaku di kelas, kebiasaannya saya akan mulakan dengan berborak-borak dengan rakan sekelas (berborak lagi, saya ni orang yang banyak cakap barangkali) selama 10-15 minit sebelum memulakan kerja. Bukankah sepatutnya saya boleh gunakan masa tersebut untuk berwirid dan solat sunat?

“Walk the talk”

Saya sering mendengar kata-kata ini daripada sahabat seAdeladie, Syukri. Mungkin melambangkan perwatakan beliau yang tidak suka berpolemik dan berslogan, tetapi lebih fokus kepada output daripada hasil perbincangan. Eh, tercerita pasal Syukri pula…

Walk the talk. Dirujuk kembali kepada kes saya yang meninggalkan amalan-amalan sunat semata-mata untuk menyiapkan sesuatu yang wajib saya yakin bukan itu masalah sebenarnya.

Yang menjadi masalah adalah sejauh mana kita benar-benar “walk the talk” ataupun berpegang dengan apa yang telah kita putuskan. Sekiranya dirujuk kepada fiqh keutamaan, antara berborak kosong dan bersolat sunat dan berwirid, Insyaallah saya yakin setiap orang mampu menjawabnya.

Berhati-hati sebelum mengungkapkan

Saya ingin menyeru kepada saya terlebih dahulu, dan sahabat-sabahat pembaca. Berhati-hatilah dan fikirkan semasaknya sebelum kita memberikan alasan tidak cukup masa dan sebagainya. Tidak ada masalah untuk mengungkapkannya, selagi mana kita benar-benar berpegang dengan kata-kata tersebut dalam erti kata kita telah pun membuat perancangan, dan sememangnya tidak ada slot masa untuk menunaikan sesuatu kerja.

Mungkin inilah jawapan kepada persoalan, kenapa lama tidak mengemaskini blog. Saya akui, saya masih belum mahir menyusun dan mengurus masa dengan baik, sehingga agenda mengemaskini blog terlepas daripada perancangan.

Wallahu’alam

shah2873

Aktiviti-aktiviti akan datang:

29hb Mac – Speaker Bicara Minda dan Hati

5hb April – AJK Sambutan Maulidur Rasul Adelaide

Advertisements