April 2008


Bungkusan untukku

Aku terlihat sekeping kad berada di tangga rumahku. Sudah menjadi kebiasaan ahli-ahli rumahku, setiap sampul surat akan diletakkan di tangga rumah kami. Seringkali kubiarkan sahaja, melainkan sekiranya surat itu ada namaku tertera.

Kad kali ini dihantar oleh Australian Post kepadaku, menandakan ada bungkusan yang perlu kuambil dari Pejabat Post Australia.

cover_01.gif

Aku Terima Nikahnya…

Aku tersenyum, gembira…

“Umi, sampaikan ucapan terima kasih pada Long. Pesan kat Long, bungkusan telah sampai dengan selamat,”kataku pada Umi melalui telefon.

Pada keesokan harinya, pagi lagi aku sudah ke pejabat pos, untuk mengambil bungkusan.
Aku bergegas pulang, tak sabar rasnya untuk membukanya. Dua buah buku akademik, beserta sebuah buku yang amat aku hargai, Aku Terima Nikahnya, tulisan Ust Hasrizal. Buku yang membuatkan aku jatuh cinta padanya pada kali pertama ia muncul di website saifulislam.com, kini berada di tanganku.

Terima kasih kepada Long yang mengorbankan tenaga dan masa sehingga sampai ‘mutiara’ tersebut padaku.

SMS buatku

SMS dikirim tidak mengira waktu, sehinggakan sewaktu menghadiri lecture juga tidak terlepas daripada menerima kiriman sms.

https://i0.wp.com/www1.istockphoto.com/file_thumbview_approve/301018/2/istockphoto_301018_taking_picture_with_the_handphone.jpg

Tetapi seolah terpanggil, minda ini seolah tidak mampu untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada pengajaran selagi mana SMS yang diterima
tidak dibuka.

Refleksi diri

Beberapa sikapku kepada penerimaan sms dan bungkusan membuatkan aku berfikir sejenak. Tidak ada siapa yang memaksaku untuk gembira menerima sebuah bungkusan, tidak ada siapa yang memaksaku untuk membuka sms ketika pengajaran sedang berlangsung. Kesemuanya berlaku tanpa paksaan, seolah
telah menjadi sebahagian daripada tindakanku yang ‘natural.’

Setakat pemerhatianku juga seolah membuktikan hal yang sama. Ramai juga rakanku yang terpaksa berhenti dalam perbualan hanya kerana menerima sms. Tak kurang juga yang boleh berbalas sms, sekalipun pensyarah sedang mengajar di hadapan.

Sekiranya mampu untuk dibuat kesimpulan, manusia akan memberikan pemerhatian yang lebih, apabila namanya atau dirinya diseru.

Mesej dariNya, bagaimana kita?

“Wahai orang-orang beriman…”

“Wahai hamba-hambaKu…”

Biasa kedengaran seruan-seruan ini di dalam al-Quran? Bukankah DIA sedang menyeru kita untuk kita berikan perhatian?

Sejauhmanakah kita memberikan perhatian pada seruanNya, sepertimana yang telah kita berikan pada surat dan bungkusan yang diterima?

Sekiranya surat dan bungkusan boleh membawa kegembiraan sementara di duniapun telahpun kita memberikan perhatian dan sifat inkuiri, bukankah seharusnya mesej Quran yang bisa membawa kegembiraan dunia dan lebih-lebih akhirat seharusnya kita memberikan lebih perhatian lagi.

Seruan adalah buat diri

Tiadalah aku menulis ini sebagai satu pertanyaan bersifat provakasi buat para pembaca. Tetapi sekadar renungan, paling utama adalah kepada diri sendiri yang lebih layak untuk diberi peringatan dalam hal ini.

Rasanya masih jauh hubungan diriku dengan wahyu Ilahi.

Berikut adalah ringkasan artikel yang mampu saya karangkan daripada pengisian Bermula dari Anda, Bicara Minda dan Hati pada 29 Mac yang lalu. 

 Anak buah yang menangis

dscf6179-medium.jpg

Anak buahku, Hazim (tiada kaitan dengan cerita)

“Wekk…wekk…nak…nak….” Hazim yang baru berusia 2 tahun menangis teresak-esak. Entah apa yang dia mahu, aku tidak pasti.

Seminit…

5 minit….

Hah ni dah melampau, ini sudah sampai tahap mencabar kesabaranku yang sedang seronok membaca permulaan novel Ayat-ayat Cinta karangan EL-Shirazy.

“Eh, Hazim! Diamlah. Nak apa? Kalau bising lagi, uncle pok (pukul) baru tahu,” kataku dengan muka menyinga. Apa lagi, bukan bertambah diam, semakin kuat Hazim menangis.

Pok! Pok! Beberapa das pukulan khas untuk kanak-kanak aku halakan pada betis Hazim.

“Wek….Wekk” bertambah kuat. Aku kebingungan dan aku masuk ke dalam bilikku, nanti biarlah mama aku akan menguruskannya.

Di dalam bilik aku kembali memikirkan tindakan ku pada Hazim sebentar tadi…aku menyesali perbuatan ku…

Aku menyesal kerana telah melakukan tindakan yang sia-sia. Hazim baru sahaja 2 tahun, cakap pun tidak pandai, tapi aku pula memaksanya untuk bercakap dan berhenti menangis. Sungguh tidak wajar tindakan aku sebentar tadi, rasanya ingin sahaja aku memeluk Hazim untuk memujuknya.

dscf6211-small.jpg

Hazim, moga membesar dengan keimanan. Uncle Cap merinduimu

Marah yang sia-sia

Sekiranya anda adalah kakak atau abang kepada “aku” dalam kisah di atas, apakah tindakan anda kepada “aku” yang melakukan perkara yang sia-sia? Sekalipun kita mungkin sekadar mendiamkan diri, pastinya hati kita terdetik, kenapalah kurang pandainya “aku”, takkanlah diharapkan budak seusia 2 tahun untuk memahami pertuturan orang dewasa.

Ya, kita berasa tidak berpuas hati kepada aku kerana ‘aku’ telah melakukan perkara yang sia-sia, marah kepada sesuatu yang tidak akan berubah. Tetapi, dalam kejengkelan kita kepada ‘aku’, mungkin kita juga secara tidak sedar sering mengamalkan sikap tersebut, marah yang sia-sia.

Traffic jam, hujan lebat, suhu mencecah 40 darjah dan sebagainya adalah beberapa perkara lazim yang seringkali menyebabkan ‘mood’ atau emosi kita tidak stabil.

“Tengah panas ni, kau janganlah buat hal pula!”

“%^%E$ Traffic jam pula”

Marahkan traffic jam, marahkan cuaca dan suhu, adakah akan berubah keadaan itu? Tidak sekali-kali tidak. Namun, itulah sebahagian daripada kita sering lakukan. Marahkan yang sia-sia.

Bagaimana seharusnya?

Saya tidak menafikan bahawa emosi manusia akan terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang di luar kawalan kita. Tetapi manusia, bukanlah seperti tindak balas kimia, sekiranya menerima rangsangan, maka akan terjadinya reaksi. Tetapi manusia diberi kurnia akal yang waras untuk mengendalikan reaksi yang relevan kepada sesuatu yang terjadi kepada kita.

Sebagai contoh, sekiranya bas 99C yang kita naiki, terperangkap di dalam jam, tambahan pula kita sudah lewat ke kelas. Suasana yang pastinya merangsang emosi untuk berasa marah. Sekiranya kita ingin menjadi seperti bahan kimia, maka zahirkanlah kemarahan kita. Sumpah seranahlah pada para kenderaan yang menyesak di jalan raya. Tampilkan muka yang masam ketika berjumpa dengan rakan-rakan. Semangat belajar menurun kerana kesesakan.

Tetapi sekiranya kita ingin menjadi manusia yang proaktif, tapislah emosi marah itu dengan tindakan yang relevan. Masa di dalam bas, mungkin boleh kita gunakan untuk membaca nota-nota kuliah yang telah pun kita terlewat menghadirinya. Sekurang-kurangnya tidaklah kita membuang masa di dalam bas menanti destinasi, tambahan pula kita telah manfaatkan masa untuk membuat pra baca nota kuliah. Tidakkah ia menguntungkan kita?

Jadilah proaktif bukan reaktif

Bermula daripada anda, pilihlah antara proaktif dan reaktif. Begitulah tajuk perbincangan dalam Bicara Minda dan Hati siri ke-5 yang telah berjaya dilaksanakan pada 29hb April yang lalu. Perbincangan di atas, bolehlah saya kategorikan sebagai rngkasan kepada diskusi saya bersama siswa dan siswi tempoh hari.

Sebagai pengakhiran, suka untuk saya kongsikan beberapa ciri orang yang proaktif yang mampu saya garapkan daripada beberapa buku yang dikaji:

1. Fokus kepada apa yang mampu kita ubah (cirlce of influence) daripada kepada sesuatu yang tidak dapat kita ubah (circle of concern)

2. Mengambil inisiatif, menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada sesebuah organisasi,  bukan sebagai beban

3. Ada ‘filter’ atau butang ‘pause’ sebelum bertindak. Rujuk kisah di atas

4. Mengambil tanggungjawab lebih daripada menyalahkan mana-mana pihak yang lain

5. Perhatikan bahasa yang kita gunakan. Banyakkan penggunaaan saya mahu (I want or I chose) daripada menggunakan saya terpaksa ( I have..)

Wallahu’alam
Bermula daripada anda, selamat berjuang!

Rujukan:

Stephen R Covey, 7 Habits of Highly Effective People, The Business Libarary, 1996

Sean Covey, 7 Habits of Highly Effective Teens, Franklin Covey Co. 1998

Kuliah 7 Habits daripada Hasrizal Abd Jamil (saifulislam.com)

Saudara Bukhari (memberikan banyak sumbangan idea)