Buku


Keputusan PRU-12 telah mencatatkan beberapa kejutan. Saya tidak mahu mengulas begitu panjang dalam hal tersebut, namun harapan daripada seorang warganegara yang tidak sempat membuang undi adalah tertegaknya kebenaran di negara Malaysia yang tercinta. Moga kehadiran lebih ramai muka-muka baru di dalam parlimen mampu untuk membuahkan ‘check and balance’ lebih efektif di Parlimen yang membawa kepada manfaat kerajaan yang memerintah dan rakyat secara umumnya.

Setelah sedikit keletihan bersengkang mata menunggu keputusan PRU yang sering kali tersangkut dek server down beberapa website seperti Malaysiakini dan Utusan, rasanya perasaan perlu diraikan seketika. Terima kasih kepada saudara Shukri kerana meminjamkan saya sebuah novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tulisan Pak Hamka.

Berikut adalah ulasan ringkas saya terhadap novel ini.

Buku tulisan HAMKA berkisar tentang soal jawab agama adalah buku karya HAMKA yang pertama dibaca oleh saya. Mungkin, buku tersebut masih belum mencerahkan saya kepada ketokohan sastera Pak HAMKA.

Beberapa tahun selepas itu, keberadaan di KMB memberi lebih ruang kepada saya dalam mendalami tulisan HAMKA, tapi kini dalam arena tafsir.

Sekali lagi, Tafsir Al-Azhar ini juga pada saya masih belum menonjolkan HAMKA sebagai seniman di samping tokoh dalam bidang dakwah. 

Angkatan Baru adalah karya beliau yang pertama saya baca. Karya ini sekalipun pendek, tetapi mesejnya jelas terpapar di dalamnya yang mengisahkan dua tafsiran cinta yang berbeza antara sang suami seorang pendidik bangsa dengan sang isteri seorang yang memuja cinta romantik. 

Buku Pemikiran Etika Hamka yang ditulis oleh Abd Rahman Abd Aziz, seorang pensyarah UUM-lah yang benar-benar memberi satu semangat baru saya untuk lebih mendalami tulisan HAMKA. Maka, sekalung ucapan terima kasih buat saudara Shukri kerana meminjamkan saya novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. 

Novel ini secara umumnya berkisar tentang perjuangan seorang pemuda, Zainuddin yang telah ditimpa nasib malang sejak dilahirkan yang akhirnya mendapat pencerahan semangat setelah bertemu dengan gadis Minangkabau, Hayati. Perkenalan awal Zainuddin bersama Hayati telah membuahkan cinta.

Mereka berdua telah berjanji untuk hidup bersama. Namun disebabkan status yang berbeza daripada perpekstif adat Minangkabau, pihak keluarga Hayati telah menolak peminangan Zainuddin. Hal ini ditambah lagi dengan pengaruh sahabat Hayati, Khadijah yang cuba memberikan gambaran buruk kepada Hayati tentang ketidakmampuan Zainuddin untuk membina keluarga yang bahagia bersama Hayati kerana kemiskinan Zainuddin.  

Akhirnya, Hayati telah memungkiri janjinya untuk menunggu Zainuddin dan telah mengambil keputusan untuk menerima lamaran Aziz, abang kepada Khadijah, seorang kaki judi dan kaki perempuan yang disangka Hayati bakal memberinya kebahagiaan.

Akibat daripada pernikahan dua insan ini, telah menyebabkan Zainuddin terlantar sakit selama 2 bulan, namun semangat hidupnya dihidupkan semula oleh Muluk yang membawa kepada penceburan Zainuddin dalam bidang penulisan yang membawa kepada kejayaan hidup beliau. 

Setelah habis membaca novel ini, benarlah apa yang ingin disampaikan oleh Abd Rahman daripada bukunya pemikiran etika Hamka, bahawa penulisan Hamka dalam novel bukanlah sekadar novel picisan, tetapi mesej dakwah yang lebih utama untuk disampaikan.

Apa yang menarik daripada buku antaranya adalah pada mukadimah yang ditulis oleh Hamka sendiri, iaitu beliau menceritakan sedikit sebanyak penentangan yang diterima beliau kerana jarang sekali seorang ulama menulis novel percintaan sepertinya. Namun penentangan itu tidak bertahan lama, kerana masyarakat telah mula sedar akan kepentingan seni dan sastera dalam mesej dakwah.

Hal ini selari dengan apa yang diungkapkan oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam mukadimah kitab Al—Munthalaq yang mengungkapkan mesej yang lebih kurang sama dengan kata-kata Hamka.

Dari segi metod penulisan, saya dapati Pak Hamka gemar menampilkan penulisan surat antara dua watak yang berkasih sayang. Hal yang sama juga saya dapati daripada cerpan Angkatan Baru. Pada pendapat saya, hal ini akan lebih menyebabkan pembaca cuba menghayati watak dalam novel. Misalnya, begitu banyak perutusan surat antara Zainuddin dan Hayati telah dimuatkan dalam novel ini. Antara kelebihan kaedah ini bagi saya adalah penulis akan lebih mudah dalam menggambarkan isi hati para watak dalam cerita. 

Seperti yang telah diterangkan, bahawa matlamat Hamka adalah demi dakwah. Maka, di antara persoalan yang ingin disampaikan adalah persoalan dua taraf cinta yang berbeza, iaitu cinta dan CINTA cuba dibawa oleh Hamka melalui watak Zainuddin dan Hayati.

Hal ini ditunjukkan dalam peristiwa pesta keramaian yang diadakan di Padang, sebuah kota yang mempunyai cara hidup yang berbeza dengan dusun. Dalam hal ini, demi ingin melepaskan rindu untuk bertemu jejaka idaman, Zainuddin, Hayati rela mengorbankan busana muslimahnya dan termakan ugut oleh sahabatnya (kalau boleh saya katakan sahabat) Khadijah untuk memakai pakaian yang terdedah yang sekiranya Hayati enggan, maka Hayati tidak akan dibawa ke pesta keramaian yang membawa kepada implikasi tidak dapat bertemu dengan Zainuddin.

Kerana cinta Hayati pada Zainuddin, Hayati gagal dalam menuruti perintah Tuhan dalam hal ini. Ketika dua insan yang berkasih ini bertemu, Zainuddin terkejut atas penampilan ‘kurang sopan’ Hayati.

Cinta Zainuddin pada Hayati tidak menghalang Zainuddin untuk mengutus ‘surat bantahan’ kepada Hayati atas penampilannya yang jelas membelakangi perintah Allah. Perbuatan Zainuddin ini pada saya adalah antara kaedah Hamka untuk memberikan contoh cinta yang suci iaitu cintakan manusia kerana Allah. Teguran Zainuddin pada Hayati bukanlah bertujuan untuk menghina, tetapi adalah manifestasi cinta Zainuddin pada Hayati yang ingin menjaga kekasihnya baik dalam hal kebajikan dunia dan akhirat. 

Selain itu, persoalan kebenaran itu terletak pada isi dan bukan pengucapnya juga turut ditampilkan dalam novel ini. Hal ini ditunjukkan oleh watak Muluk, sahabat Zainuddin, seorang perewa ataupun tukang judi yang memberikan ‘tazkirah’ yang paling berkesan kepada Zainuddin tentang perjuangan hidup yang masih luas sekalipun kekasihnya Hayati telah berkahwin dengan Aziz.

Sekalipun Zainuddin yang pernah mengaji di pondok, beliau tidak ego dengan mengenepikan nasihat Muluk semata-mata kerana beliau kaki judi. Bahkan kata-kata Muluk-lah yang memberikan beliau suatu titik perubahan dalam hidupnya yang akhirnya membawa beliau kepada kejayaan dalam memberikan cinta pada umat secara amnya. 

Mungkin juga Hamka ingin menyampaikan mesej terutamanya kepada golongan pendakwah, janganlah sekali-kali meremehkan sesiapa sahaja sekalipun seseorang itu mungkin seorang penjudi atau pelaku maksiat. Sikap rendah diri Zainuddin kepada Muluk, akhirnya menginsafkan Muluk daripada melakukan perlakuan judi dan sudi menjadi sahabat setia Zainuddin dalam perjuangan penulisannya. 

Saya merasakan tidak cukup medan maya ini untuk saya kongsikan segala macam pengajaran daripada Novel ini. Mungkin satu tesis yang tebal diperlukan sekiranya novel ini ingin dibedah secara lengkap ataupun sebuah seminar diperlukan. =) 

Saudara Shukri yang meminta saya memberi komen tentang perbandingan antara novel ini dengan Ayat-ayat Cinta karya Kang Abik, namun tiada jawapan yang konkrit mampu diberikan kerana masing-masing mempunyai kekuatan mesej yang tersendiri.

Walau apa pun, saya sangat merekomen kepada para pembaca untuk mengambil sedikit masa untuk menghayati tulisan Hamka ini yang hanya setebal 280+ muka surat. Akhir kata, moga Allah merahmati ruh Pak Hamka….Amiin

shah2873

Suasana Membaca yang menjadi pilihanku

man-reading.jpg

Insan yang membaca, sumber: smart-kit.com

Alhamdulillah, lebih kurang jam 6 petang tadi  (4/1) saya berjaya mengkhatamkan buku detik-detik hidupku karangan Zainab Al-Ghazali. Saya menamatkan bacaan di perkarangan tangga LRT stesyen Taman Bahagia. Sengaja saya mengambil masa untuk menghabiskan bacaan di luar rumah, kerana saya merasakan lebih mudah membaca di dalam gerabak LRT daripada di rumah.

Kenapa? Godaan internet, keempukan katil dan lain-lain benar-benar melambatkan kadar bacaan saya. Agak pelik saya rasakan, apabila kadar bacaan saya semasa hari-hari bekerja lebih banyak dari hari minggu. Heh, bukanlah bermaksud saya tidak menunaikan amanah kerja di pejabat, tetapi perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 30-40 minit dari Stesyen Taman Bahagia, Alhamdulillah telah berjaya saya gunakan untuk membaca buku-buku yang baru dibeli.

Mimpi Ukhti Zainab di dalam buku detik-detik hidupku

Inilah perbahasan utama yang ingin saya sampaikan untuk entry kali ini. Usul ketiga daripada Usul 20 yang ditulis oleh Hasan al Banna rh ada membincangkan isu mimpi.

“Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambaNya. Tetapi ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syara’. Ia tidak diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum dan nas agama. ” (sumber:Persatuan Mahasiswa Islam UM, http://www.pmium.org)

Para ulama usul juga ada membincangkan isu mimpi yang dialami selain daripada Nabi dan Rasul, adakah ia bisa menjadi dalil dalam syariat? Kesimpulannya, mimpi selain daripada Nabi tidak boleh dijadikan landasan dalam syariat, walau sehebat mana sekalipun orang yang bermimpi. Wali Allah, ulama besar, mufti dan apa-apa gelaran bagi orang yang hebat tetap tidak menjadikan mimpi mereka sebagai sandaran dalam syariat.

Perbincangan tentang soal mimpi ini penting kerana antara kaedah yang digunakan oleh para pemuka ajaran sesat adalah dengan menyebar luaskan mimpi syeikh mereka, bahawa syeikh mereka telah berjumpa dengan Nabi saw, dan baginda telah mengajarkan kita akan sekian-sekian ibadat. Bahkan ada yang lebih melampau, dengan berdalilkan mimpi, ada para syeikh yang menghapuskan kewajipan bagi dirinya seperti solat, puasa dan sebagainya.

Berbalik kepada isu asal, di dalam buku ini, ada diceritakan bahawa ukh Zainab rh bermimpi berjumpa dengan Nabi saw bersama dengan Hasan al-Hudaibi rh, berjumpa dengan Aisyah ra dan lain-lain. Saya tak berniat untuk mempertikaikan kesahihan kisah ini, kerana saya yakin bahawa kisah mimpi itu benar. Walau bagaimanapun, isu yang ingin sama-sama kita bincangkan adalah bagaimana kita berinteraksi dengan kisah-kisah ini?

Perbahasan daripada usul ketiga dan kesimpulan ulama terhadap isu mimpi akan menjadi dasar bagaimana kita berinteraksi dengan kisah ini. Maka kita boleh bersetuju, bahawa mimpi-mimpi ukh Zainab al-Ghazali adalah anugerah Allah buat beliau, sebagai bantuan daripadaNya berhadapan dengan seksaan daripada puak yang zalim.

Namun, mimpi ini bukanlah dalil pengiktirafan kepada  Ikhwanul Muslimin (IM). IM tidak memerlukan mimpi untuk dibuktikan kebenarannya. Cukuplah neraca Quran dan Sunnah, dengan pemahaman salafus soleh (dengan kefahaman usul fiqh) untuk menilai kebenaran gerak kerja IM. Bahkan Nabi saw telah meletakkan syarat pengiktirafan yang terkandung dalam hadith tersebut,

“Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian.

Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan.

Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1) (sumber:emran ahmad, http://www.al-ahkam.net)

Bersama kita hayati perjuangan IM dengan kefahaman ini. Bahkan Hasan al-Banna juga telah menyusun usul 20-nya, semata-mata untuk memudahkan para ahli IM dan mereka yang ingin memahami perjuangan IM sebagai syarat memenuhi rukun faham sebelum memasuki lapangan gerak kerja.

Kemahiran mempersembahkan ilmu…

Saya telah menyiapkan entry ini 2-3 hari yang lalu. Namun kemahiran mempersembahkan ilmu dalam penulisan tidak semudah yang saya sangkakan. Dengan berpegang bahawa setiap penulisan akan dinilai olehNya, saya cuba sedaya upaya agar penulisan saya akan mencerahkan bukan mengusutkan pemikiran pembaca.  Oleh it, saya memohon seandainya ada bahagian penulisan ini yang kelihatan mengelirukan, silalah memberi komen agar kesalahan itu dapat disunting.

Terima kasih.

shah2873

“Detik-detik hidupku” adalah buku yang dikarang oleh salah seorang tokoh akhwat dari Ikhwanul Muslimin, Zainab al-Ghazali. Berbeza dengan buku-buku haraki yang lain, buku ini adalah penceritaan semula kisah hidup beliau dalam perjuangan menentang kepimpinan Mesir di kala itu, yang dianggap thoghut, yang membawa beliau ke penjara tentera, sebuah neraka di dunia.

Pertama kali saya melihat buku ini adalah sewaktu menziarahi tingkat 7, Alexendra Lodge, Rosepark. Dengan berkat usaha sahabat-sahabat yang akhirnya berjaya menukar level 7 daripada common room kepada surau. Pertama kali melihatnya, saya menyangkanya adalah tulisan haraki yang biasa. Maka ketika itu, minat saya belum sampai ke situ. Tambahan, kulitnya yang kelihatan “antik” menambahkan ketidak minat saya untuk membelek.

Kali kedua, saya melihatnya di Akademi Pengajian Islam UM sewaktu saya jualan buku bersempena Seminar Pembangunan Insan, anjuran Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Penerbit, Pustaka Salam telah menerbitkannya semula dalam bentuk yang lebih “compact” dan menarik. Tambahan, buku itu disusun sebaris dengan novel-novel seperti ayat-ayat cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan lain-lain. Barulah saya mengetahui, bahawa buku Detik-detik hidupku bukanlah seperti buku haraki yang lain, tapi adalah “novel” yang menceritakan kisah perjuangan Zainab Al-Ghazali.

Pembelian masih ditangguhkan atas sebab kewangan sehinggalah pada hari sabtu yang lepas. Terima kasih kepada sahabat saya, Mejat yang sudi menemani saya ke Pustaka Rezeki Harapan, di hadapan Masjid India. Kini, saya telah memiliki buku itu, dan hampir 2/3 telah dihabiskan.

Alhamdulillah, sekalipun kehebatan sastera Zainab mungkin tidak sehebat Kang Abik (el-Shirazy), (ataupun kelemahan penterjemah) isinya yang menceritakan kisah benar hidupnya pastinya datang daripada hati beliau. Hanya kisah daripada hati yang bisa menyentuh hati para pembaca.

3316746.jpg

Jamal Abdul Nasser, http://www.viewpages.com

Insyaallah moga hari ini saya akan berjaya mengkhatamkan buku itu dengan penghayatan.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang ketabahan dan keberanian ukh Zainab al-Ghazali berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim, kesabaran para pejuang Ikhwan menghadapi neraka dunia di penjara, peranan keimanan dalam perjuangan, pertolongan Allah buat mereka yang membantu agama-Nya dan banyak lagi mutiara-mutiara yang dapat dikutip. Selain itu, bagi mereka yang ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas sejarah perjuangan Ikhwan, kesan apabila Ikhwan diharamkan oleh pemerintah dan bagaimana para ikhwah dan akhwat menyusun kembali gerak kerja, silalah dapatkan buku ini.

Diterbitkan oleh Pustaka Salam, dengan harga tertera RM 14.50. Sekiranya anda membelinya di Pustaka Mukmin, Pustaka Rezeki Harapan ataupun Pustaka Fajar Ilmu Baru, (sekadar menyebut beberapa nama yang saya ketahui) sedikit diskaun mungkin boleh diminta.

Sekadar berkongsi… sebagai promoter tanpa berbayar =)

Sedikit petikan daripada buku itu.

Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Zainab Al-Ghazali mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki…”

“Aku yang sentiasa berada di puncak penderitaan dan seluruh tubuhku dipenuhi dengan luka-luka parah akibat penyeksaan, aku yang masih diselubungi oleh keletihan, masih mampu melawan binatang buas yang menerkamku. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa telah memberiku kekuatan ajaib..

Binatang buas yang dikisahkan adalah seorang askar yang ditugaskan oleh ketua penjara untuk mencabul kehormatan Zainab. Dengan izin Allah yang memelihara hambaNya, Zainab berjaya membunuh askar itu sekalipun dalam keadaan yang lemah, kesan daripada seksaan yang terus menerus kepadanya. Terpeliharalah kesucian dirinya. Subhanallah

P/S: Saya ingin bertanya kepada mereka yang tahu, adakah kisah ini sahih daripada pandangan displin ilmu sejarah? Sejauh manakah penulis-penulis sejarah Ikhwanul Muslimin menggunakan buku ini sebagai sebahagian daripada sumber rujukan?

shah2873