Isu semasa


Berikut adalah ringkasan artikel yang mampu saya karangkan daripada pengisian Bermula dari Anda, Bicara Minda dan Hati pada 29 Mac yang lalu. 

 Anak buah yang menangis

dscf6179-medium.jpg

Anak buahku, Hazim (tiada kaitan dengan cerita)

“Wekk…wekk…nak…nak….” Hazim yang baru berusia 2 tahun menangis teresak-esak. Entah apa yang dia mahu, aku tidak pasti.

Seminit…

5 minit….

Hah ni dah melampau, ini sudah sampai tahap mencabar kesabaranku yang sedang seronok membaca permulaan novel Ayat-ayat Cinta karangan EL-Shirazy.

“Eh, Hazim! Diamlah. Nak apa? Kalau bising lagi, uncle pok (pukul) baru tahu,” kataku dengan muka menyinga. Apa lagi, bukan bertambah diam, semakin kuat Hazim menangis.

Pok! Pok! Beberapa das pukulan khas untuk kanak-kanak aku halakan pada betis Hazim.

“Wek….Wekk” bertambah kuat. Aku kebingungan dan aku masuk ke dalam bilikku, nanti biarlah mama aku akan menguruskannya.

Di dalam bilik aku kembali memikirkan tindakan ku pada Hazim sebentar tadi…aku menyesali perbuatan ku…

Aku menyesal kerana telah melakukan tindakan yang sia-sia. Hazim baru sahaja 2 tahun, cakap pun tidak pandai, tapi aku pula memaksanya untuk bercakap dan berhenti menangis. Sungguh tidak wajar tindakan aku sebentar tadi, rasanya ingin sahaja aku memeluk Hazim untuk memujuknya.

dscf6211-small.jpg

Hazim, moga membesar dengan keimanan. Uncle Cap merinduimu

Marah yang sia-sia

Sekiranya anda adalah kakak atau abang kepada “aku” dalam kisah di atas, apakah tindakan anda kepada “aku” yang melakukan perkara yang sia-sia? Sekalipun kita mungkin sekadar mendiamkan diri, pastinya hati kita terdetik, kenapalah kurang pandainya “aku”, takkanlah diharapkan budak seusia 2 tahun untuk memahami pertuturan orang dewasa.

Ya, kita berasa tidak berpuas hati kepada aku kerana ‘aku’ telah melakukan perkara yang sia-sia, marah kepada sesuatu yang tidak akan berubah. Tetapi, dalam kejengkelan kita kepada ‘aku’, mungkin kita juga secara tidak sedar sering mengamalkan sikap tersebut, marah yang sia-sia.

Traffic jam, hujan lebat, suhu mencecah 40 darjah dan sebagainya adalah beberapa perkara lazim yang seringkali menyebabkan ‘mood’ atau emosi kita tidak stabil.

“Tengah panas ni, kau janganlah buat hal pula!”

“%^%E$ Traffic jam pula”

Marahkan traffic jam, marahkan cuaca dan suhu, adakah akan berubah keadaan itu? Tidak sekali-kali tidak. Namun, itulah sebahagian daripada kita sering lakukan. Marahkan yang sia-sia.

Bagaimana seharusnya?

Saya tidak menafikan bahawa emosi manusia akan terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang di luar kawalan kita. Tetapi manusia, bukanlah seperti tindak balas kimia, sekiranya menerima rangsangan, maka akan terjadinya reaksi. Tetapi manusia diberi kurnia akal yang waras untuk mengendalikan reaksi yang relevan kepada sesuatu yang terjadi kepada kita.

Sebagai contoh, sekiranya bas 99C yang kita naiki, terperangkap di dalam jam, tambahan pula kita sudah lewat ke kelas. Suasana yang pastinya merangsang emosi untuk berasa marah. Sekiranya kita ingin menjadi seperti bahan kimia, maka zahirkanlah kemarahan kita. Sumpah seranahlah pada para kenderaan yang menyesak di jalan raya. Tampilkan muka yang masam ketika berjumpa dengan rakan-rakan. Semangat belajar menurun kerana kesesakan.

Tetapi sekiranya kita ingin menjadi manusia yang proaktif, tapislah emosi marah itu dengan tindakan yang relevan. Masa di dalam bas, mungkin boleh kita gunakan untuk membaca nota-nota kuliah yang telah pun kita terlewat menghadirinya. Sekurang-kurangnya tidaklah kita membuang masa di dalam bas menanti destinasi, tambahan pula kita telah manfaatkan masa untuk membuat pra baca nota kuliah. Tidakkah ia menguntungkan kita?

Jadilah proaktif bukan reaktif

Bermula daripada anda, pilihlah antara proaktif dan reaktif. Begitulah tajuk perbincangan dalam Bicara Minda dan Hati siri ke-5 yang telah berjaya dilaksanakan pada 29hb April yang lalu. Perbincangan di atas, bolehlah saya kategorikan sebagai rngkasan kepada diskusi saya bersama siswa dan siswi tempoh hari.

Sebagai pengakhiran, suka untuk saya kongsikan beberapa ciri orang yang proaktif yang mampu saya garapkan daripada beberapa buku yang dikaji:

1. Fokus kepada apa yang mampu kita ubah (cirlce of influence) daripada kepada sesuatu yang tidak dapat kita ubah (circle of concern)

2. Mengambil inisiatif, menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada sesebuah organisasi,  bukan sebagai beban

3. Ada ‘filter’ atau butang ‘pause’ sebelum bertindak. Rujuk kisah di atas

4. Mengambil tanggungjawab lebih daripada menyalahkan mana-mana pihak yang lain

5. Perhatikan bahasa yang kita gunakan. Banyakkan penggunaaan saya mahu (I want or I chose) daripada menggunakan saya terpaksa ( I have..)

Wallahu’alam
Bermula daripada anda, selamat berjuang!

Rujukan:

Stephen R Covey, 7 Habits of Highly Effective People, The Business Libarary, 1996

Sean Covey, 7 Habits of Highly Effective Teens, Franklin Covey Co. 1998

Kuliah 7 Habits daripada Hasrizal Abd Jamil (saifulislam.com)

Saudara Bukhari (memberikan banyak sumbangan idea)

Keputusan PRU-12 telah mencatatkan beberapa kejutan. Saya tidak mahu mengulas begitu panjang dalam hal tersebut, namun harapan daripada seorang warganegara yang tidak sempat membuang undi adalah tertegaknya kebenaran di negara Malaysia yang tercinta. Moga kehadiran lebih ramai muka-muka baru di dalam parlimen mampu untuk membuahkan ‘check and balance’ lebih efektif di Parlimen yang membawa kepada manfaat kerajaan yang memerintah dan rakyat secara umumnya.

Setelah sedikit keletihan bersengkang mata menunggu keputusan PRU yang sering kali tersangkut dek server down beberapa website seperti Malaysiakini dan Utusan, rasanya perasaan perlu diraikan seketika. Terima kasih kepada saudara Shukri kerana meminjamkan saya sebuah novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tulisan Pak Hamka.

Berikut adalah ulasan ringkas saya terhadap novel ini.

Buku tulisan HAMKA berkisar tentang soal jawab agama adalah buku karya HAMKA yang pertama dibaca oleh saya. Mungkin, buku tersebut masih belum mencerahkan saya kepada ketokohan sastera Pak HAMKA.

Beberapa tahun selepas itu, keberadaan di KMB memberi lebih ruang kepada saya dalam mendalami tulisan HAMKA, tapi kini dalam arena tafsir.

Sekali lagi, Tafsir Al-Azhar ini juga pada saya masih belum menonjolkan HAMKA sebagai seniman di samping tokoh dalam bidang dakwah. 

Angkatan Baru adalah karya beliau yang pertama saya baca. Karya ini sekalipun pendek, tetapi mesejnya jelas terpapar di dalamnya yang mengisahkan dua tafsiran cinta yang berbeza antara sang suami seorang pendidik bangsa dengan sang isteri seorang yang memuja cinta romantik. 

Buku Pemikiran Etika Hamka yang ditulis oleh Abd Rahman Abd Aziz, seorang pensyarah UUM-lah yang benar-benar memberi satu semangat baru saya untuk lebih mendalami tulisan HAMKA. Maka, sekalung ucapan terima kasih buat saudara Shukri kerana meminjamkan saya novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. 

Novel ini secara umumnya berkisar tentang perjuangan seorang pemuda, Zainuddin yang telah ditimpa nasib malang sejak dilahirkan yang akhirnya mendapat pencerahan semangat setelah bertemu dengan gadis Minangkabau, Hayati. Perkenalan awal Zainuddin bersama Hayati telah membuahkan cinta.

Mereka berdua telah berjanji untuk hidup bersama. Namun disebabkan status yang berbeza daripada perpekstif adat Minangkabau, pihak keluarga Hayati telah menolak peminangan Zainuddin. Hal ini ditambah lagi dengan pengaruh sahabat Hayati, Khadijah yang cuba memberikan gambaran buruk kepada Hayati tentang ketidakmampuan Zainuddin untuk membina keluarga yang bahagia bersama Hayati kerana kemiskinan Zainuddin.  

Akhirnya, Hayati telah memungkiri janjinya untuk menunggu Zainuddin dan telah mengambil keputusan untuk menerima lamaran Aziz, abang kepada Khadijah, seorang kaki judi dan kaki perempuan yang disangka Hayati bakal memberinya kebahagiaan.

Akibat daripada pernikahan dua insan ini, telah menyebabkan Zainuddin terlantar sakit selama 2 bulan, namun semangat hidupnya dihidupkan semula oleh Muluk yang membawa kepada penceburan Zainuddin dalam bidang penulisan yang membawa kepada kejayaan hidup beliau. 

Setelah habis membaca novel ini, benarlah apa yang ingin disampaikan oleh Abd Rahman daripada bukunya pemikiran etika Hamka, bahawa penulisan Hamka dalam novel bukanlah sekadar novel picisan, tetapi mesej dakwah yang lebih utama untuk disampaikan.

Apa yang menarik daripada buku antaranya adalah pada mukadimah yang ditulis oleh Hamka sendiri, iaitu beliau menceritakan sedikit sebanyak penentangan yang diterima beliau kerana jarang sekali seorang ulama menulis novel percintaan sepertinya. Namun penentangan itu tidak bertahan lama, kerana masyarakat telah mula sedar akan kepentingan seni dan sastera dalam mesej dakwah.

Hal ini selari dengan apa yang diungkapkan oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam mukadimah kitab Al—Munthalaq yang mengungkapkan mesej yang lebih kurang sama dengan kata-kata Hamka.

Dari segi metod penulisan, saya dapati Pak Hamka gemar menampilkan penulisan surat antara dua watak yang berkasih sayang. Hal yang sama juga saya dapati daripada cerpan Angkatan Baru. Pada pendapat saya, hal ini akan lebih menyebabkan pembaca cuba menghayati watak dalam novel. Misalnya, begitu banyak perutusan surat antara Zainuddin dan Hayati telah dimuatkan dalam novel ini. Antara kelebihan kaedah ini bagi saya adalah penulis akan lebih mudah dalam menggambarkan isi hati para watak dalam cerita. 

Seperti yang telah diterangkan, bahawa matlamat Hamka adalah demi dakwah. Maka, di antara persoalan yang ingin disampaikan adalah persoalan dua taraf cinta yang berbeza, iaitu cinta dan CINTA cuba dibawa oleh Hamka melalui watak Zainuddin dan Hayati.

Hal ini ditunjukkan dalam peristiwa pesta keramaian yang diadakan di Padang, sebuah kota yang mempunyai cara hidup yang berbeza dengan dusun. Dalam hal ini, demi ingin melepaskan rindu untuk bertemu jejaka idaman, Zainuddin, Hayati rela mengorbankan busana muslimahnya dan termakan ugut oleh sahabatnya (kalau boleh saya katakan sahabat) Khadijah untuk memakai pakaian yang terdedah yang sekiranya Hayati enggan, maka Hayati tidak akan dibawa ke pesta keramaian yang membawa kepada implikasi tidak dapat bertemu dengan Zainuddin.

Kerana cinta Hayati pada Zainuddin, Hayati gagal dalam menuruti perintah Tuhan dalam hal ini. Ketika dua insan yang berkasih ini bertemu, Zainuddin terkejut atas penampilan ‘kurang sopan’ Hayati.

Cinta Zainuddin pada Hayati tidak menghalang Zainuddin untuk mengutus ‘surat bantahan’ kepada Hayati atas penampilannya yang jelas membelakangi perintah Allah. Perbuatan Zainuddin ini pada saya adalah antara kaedah Hamka untuk memberikan contoh cinta yang suci iaitu cintakan manusia kerana Allah. Teguran Zainuddin pada Hayati bukanlah bertujuan untuk menghina, tetapi adalah manifestasi cinta Zainuddin pada Hayati yang ingin menjaga kekasihnya baik dalam hal kebajikan dunia dan akhirat. 

Selain itu, persoalan kebenaran itu terletak pada isi dan bukan pengucapnya juga turut ditampilkan dalam novel ini. Hal ini ditunjukkan oleh watak Muluk, sahabat Zainuddin, seorang perewa ataupun tukang judi yang memberikan ‘tazkirah’ yang paling berkesan kepada Zainuddin tentang perjuangan hidup yang masih luas sekalipun kekasihnya Hayati telah berkahwin dengan Aziz.

Sekalipun Zainuddin yang pernah mengaji di pondok, beliau tidak ego dengan mengenepikan nasihat Muluk semata-mata kerana beliau kaki judi. Bahkan kata-kata Muluk-lah yang memberikan beliau suatu titik perubahan dalam hidupnya yang akhirnya membawa beliau kepada kejayaan dalam memberikan cinta pada umat secara amnya. 

Mungkin juga Hamka ingin menyampaikan mesej terutamanya kepada golongan pendakwah, janganlah sekali-kali meremehkan sesiapa sahaja sekalipun seseorang itu mungkin seorang penjudi atau pelaku maksiat. Sikap rendah diri Zainuddin kepada Muluk, akhirnya menginsafkan Muluk daripada melakukan perlakuan judi dan sudi menjadi sahabat setia Zainuddin dalam perjuangan penulisannya. 

Saya merasakan tidak cukup medan maya ini untuk saya kongsikan segala macam pengajaran daripada Novel ini. Mungkin satu tesis yang tebal diperlukan sekiranya novel ini ingin dibedah secara lengkap ataupun sebuah seminar diperlukan. =) 

Saudara Shukri yang meminta saya memberi komen tentang perbandingan antara novel ini dengan Ayat-ayat Cinta karya Kang Abik, namun tiada jawapan yang konkrit mampu diberikan kerana masing-masing mempunyai kekuatan mesej yang tersendiri.

Walau apa pun, saya sangat merekomen kepada para pembaca untuk mengambil sedikit masa untuk menghayati tulisan Hamka ini yang hanya setebal 280+ muka surat. Akhir kata, moga Allah merahmati ruh Pak Hamka….Amiin

shah2873

Tiada respon daripada ‘groupmate’

Salam. Ape kabar? Camne ngan progress keje grup kite?” sebuah sms dihantar oleh Shah kepada Abu, kawan seprojeknya.

Shah perlu mengetahui perkembangan Abu kerana tugas Shah sangat bergantung kepada kerja Abu. Tanpa kerja Abu, Shah tidak mampu memulakan tugasnya. Begitulah kebiasaan bekerja dalam kumpulan, saling mengharap pada satu sama lain ibarat permainan domino.

Sejam lebih menanti, tiada sms untuk dibalas. “Tiada credit barangkali untuk membalas,” Shah cuba mengubat hatinya yang mula dibisik syaitan agar bersangka buruk kepada Abu. Lantas dibuka “phone book” telefon bimbitnya untuk mencari Abu,

Abu 0123658754

Punat “Call” ditekan..

Tut…tut…tut… sehingga kedengaran suara wanita yang bercakap bahasa Inggeris yang memberi arahan agar Shah meninggalkan pesanan suara. Sekali lagi punat “Call” ditekan, tiada jawapan. Sekali lagi…hingga kali yang kelima.

Shah mula gelisah, kerana tarikh akhir kerja berkumpulan mereka sudah terlalu hampir. Tapi untuk sekian kali Shah menghubungi selepas 30 minit panggilan kali kelima, masih tiada respon. Tidurkah? Tapi jam sudah menunjukkan jam 12.00pm. Tidak seharusnya Abu terlajak tidur memandangkan terlalu banyak tugasan untuk disiapkan.

Cubaan masih diteruskan pada sebelah petangnya, tapi masih tiada respon daripada Abu. Sakitkah dia? Shah berteka teki dalam diri. Mungkin Abu tidak sihat sehingga dia gagal untuk menjawab sebarang panggilan. Shah mengharapkan agar Abu dapat ditemui di kelas. Tapi harapan hanya tinggal harapan. Abu juga gagal untuk menghadirkan diri di kelas…

Ingin ke rumah, Shah tiada alamat Abu. Abu hanya tinggal berseorangan. Mahu tidak mahu, Shah terpaksa mengusahakan tugasan yang ditinggalkan oleh Abu. Berusahalah Shah siang dan malam sehingga banyak juga kelas yang terpaksa di“pontengnya”.

Akhirnya 3 hari sebelum tarikh akhir penghantaran, Abu muncul di kelas dengan air muka yang selamba. Apabila Shah bertanya tentang kehilangannya selama ini, Abu dengan selamba berkata,

“Sorry bro. Aku ada masalah dengan “teman” aku. Aku takde mood sejak beberapa hari kebelakangan ini.”

“…” tak terlafaz dek kata-kata Shah menerima alasan yang sebegitu “kukuh”. Sudahlah setelah sekian lama tidak memberi respon. Kemudian respon yang diberikan pula adalah selekeh itu….

Fiksyen lagi…

Ya, sekali lagi watak dan perwatakan dalam kisah di atas hanyalah fiksyen semata yang terbuka kepada banyak tafsiran. Sejak akhir-akhir ini saya sering berbincang dengan sahabat bernama Syukri berkaitan dengan sastera dan beliau ada mengungkapkan sememangnya sifat sastera memang terbuka kepada pelbagai tafsiran membaca.

Sungguhpun begitu, kadang kala pengarang sesebuah karya akan mempersembah tafsirannya sendiri terhadap karyanya sendiri. Hal ini pernah juga dilakukan oleh SN Shahnon Ahmad dalam beberapa karya beliau.

Eh, melencong kepada kisah sastera pula, maaf.

Seandainya anda…

Tabiat ketiga dalam himpunan 7 tabiat orang yang efektif karangan Stephen Covey adalah “seek to understand then to be understood.” Ust Hasrizal juga dalam beberapa artikel beliau ada menyebutkan, bahawa inilah tafsiran beliau dalam memahami dakwah secara berhikmah.

Bahkan, buku Metodologi Dakwah yang dikarang oleh Dr Abd Aziz M. Zin pensyarah Jabatan Dakwah APIUM juga ada menceritakan konsep yang hampir seiring. Eh, melencong lagi…ke perbincangan buku pula…

Apa pun, dalam usaha untuk menanam sikap ini dalam diri, adalah dengan cuba bersifat “empathy” terhadap kisah yang kita lihat ataupun baca. Maka bayangkan anda adalah Shah dalam kisah di atas.

Seperti soalan karangan PMR pula, sila sambung kisah di atas. Sekiranya anda, apakah reaksi anda terhadap Abu yang bukan sahaja gagal memberi respon dalam masa yang ditetapkan bahkan memberi respon yang salah pula.

Sekadar terkaan saya, jawapan yang benar-benar lahir daripada hati anda.

“Tak guna kau, masalah kecik….”

“%&^*&^*…”

“Hampeh ar kau..ko ingat ko sorang je ke ada “teman”!!” “(tanpa dialog)” lantas buku limanya singgah ke pipi Abu. (Amboi, ekstremnya)

“Takpelah. Moga kau berbahagia…” (mungkinkah ini satira ataupun terlalu baik hati anda?)

Walau apa pun yang tertulis, pastinya yang pertama terdetik di hati adalah kekecewaan yang berelovusi menjadi kemarahan. Marah kerana Abu gagal memberi respon ketika saat respon itu diperlukan, bahkan memberi respon yang salah pula ketika membuka mulut.

Adakah kita mengadaptasi “akhlak” Abu?

Di dalam skop yang kecil di atas, mungkin jauh sekali kita mengadaptasi akhlak Abu dalam pergaulan harian kita. Sekiranya kita besarkan skop perbincangan kepada persoalan masyarakat dan sosial negara serta politik, marilah kita bersama muhasabah, adakah akhlak Abu menjadi ikutan, iaitu mengambil sikap tidak responsif kepada apa-apa perubahan dan “seruan” daripada masyarakat dan negara.

Kisah kehilangan adik Sharlinie, isu PTPTN riba atau tidak, dan sama ada anda suka kepada politik atau tidak, dan kini adalah kehangatan PRU-12. Rasanya dalam menghuraikan keperluan untuk mengambil tahu perihal politik, perbezaan antara orang yang ambil peduli politik dan ahli politik, telah dihuraikan dengan begitu baik oleh Ustaz Hasrizal yang boleh dibaca di http://saifulislam.com/?p=1000

“Ala, kita yang tengah menuntut di luar negara, bukan boleh mengundi pun. Tawaran undi pos pun telah tamat tempoh..”

“Aku tahun hadapan baru boleh mengundi, nanti la aku fikir pasal politik ni…”

“Kita ni pelajar. Tak perlu sibuk-sibuk dalam politik ni…”

Mungkin inilah respon kita terhadap isu PRU-12 yang semakin hangat dalam negara. Bukanlah medan penulisan ini untuk menjawab betul salah mengenai persoalan tentang kerelevanan untuk berfikir berkaitan politik semasa masih bergelar mahasiswa.

Tanyalah diri anda, ketika mana negara dan rakyat sedang “menyeru” kepada perubahan, adakah suatu tindakan yang tepat untuk kita mengambil sikap seperti yang kata-kata di atas yang seolah-olah sama sahaja seperti sikap Abu? Hanya kerana kita bermasalah dalam membuang undi, pelajar atau apa-apa sahaja yang mampu dijustifikasi sebagai masalah, maka abaikan sahaja “seruan” itu.

Akhlak seperti Abu hendaklah kita perangi daripada sekecil-kecil skop sehinggalah sebesar skop hingga kepada persoalan kenegaraan. Maka apakah tindakan kita untuk menyahut seruan perubahan dalam PRU-12?

Sekurang-kurangnya, lakukanlah suatu perbuatan yang paling mudah, hampir setiap masa boleh dilakukan, iaitu berDOA, moga-moga Allah menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman, moga tersubur biah yang soleh dan terkuburnya biah yang tholeh dalam Negara selepas tertubuhnya kerajaan yang baru nanti… Amiin

Selamat mengundi bagi warganegara yang boleh mengundi. Masanya telah tiba untuk berubah…(2 hari lagi…)

Shah2873

P/S:

Tindakan yang lebih proaktif tidaklah sekadar berdoa tanpa usaha. Untuk lain-lain usaha tidak saya perincikan di sini, kerana khuatir penulisan akan lebih berjela-jela.

Watak dan kisah di atas hanyalah rekaan semata.

 

img_0028.jpg

Gambar hiasan

Seorang pemuda, cukuplah dikenali dengan A memasuki LRT dan didapatinya hanya tinggal satu sahaja tempat duduk. Dia bergegas untuk duduk sekalipun warna kerusi itu berwarna kelabu yang melambangkan tempat duduk yang khas untuk mereka yang kurang upaya, warga emas dan sebagainya. Seorang wanita tua Cina dan seorang pakcik yang agak berumur di duduk sebelahnya.

Setelah 1-2 stesen, gerabak LRT kian dipenuhi. Masuk seorang kanak-kanak bersama neneknya mungkin. A mula gelisah, kerana terasa berat untuknya bangun memberikan ruang kepada nenek itu. Lantas A mengeluarkan surat khabar, cuba buat-buat tak sedar tentang kehadiran kanak-kanak bersama neneknya yang lebih berhak ke atas kerusi kelabu itu. A menyedari wanita Cina dan pakcik yang berumur sedang menjeling “maut” kepadanya. Aku tidak peduli…mungkin itulah bisikan hatinya.

Atas rasa simpati, si pakcik tua rela bangun, untuk memberikan ruang kepada kanak-kanak dan neneknya.

Tin…tin.

Gerabak LRT semakin dipenuhi. Seorang wanita yang sarat mengandung, masuk. Mukanya kelihatan letih. A bertambah gelisah. Dirasakan semua orang sedang menjeling kepadanya. A seorang yang “tetap pendirian” dengan pegangan aku tidak pedulinya, tapi dengan cara yang lebih kreatif. A meletakkan surat khabar, buat-buat tidur. Tiada siapa yang boleh menyalahkan orang yang tidur. Bahkan dosa meninggalkan solat juga diangkat andai seseorang itu tertidur sehingga luput waktunya.

“Bijak” pula A ini berusul fiqh. Akhirnya, atas rasa peduli walaupun tanpa ilmu usul fiqh dan apa-apa yang berkaitan, wanita tua Cina itu juga yang bangun untuk memberikan ruang kepada wanita yang mengandung. A terus hidup dalam dunia “tidak peduli”nya…

Cermin diri

Aku tidak peduli, www.allposters.com

Aku tidak peduli, http://www.allposters.com

Petikan kisah di atas hanyalah penceritaan semula kepada sebuah iklan budi bahasa yang pernah ditayangkan di kaca TV beberapa tahun yang dulu. Apa perasaan anda sekiranya anda berada di dalam gerabak yang sama? Mungkin ada yang sekadar mengutuk di dalam hati, bahkan ada yang lebih proaktif dengan menegur pemuda yang tidak ada rasa peduli itu.

Kesimpulannya, boleh dikatakan secara fitrah, kita benci dan menyampah dengan sikap tidak peduli pemuda A. Mungkin hal yang di atas hanyalah kes terpencil dan berskala kecil. Cuba kita besarkan skala, kepada kes-kes yang berlaku mungkin sedikit jauh daripada kita, seperti kes di Palestin, masalah sosial negara, korupsi negara dan sebagainya. Berapa ramai pula yang benar-benar mengambil peduli tentang hal itu?

Mungkin secara tidak sedar, saya dan anda mungkin termasuk dalam golongan yang tidak ambil peduli tentang hal ini. Adakah kita telah terjebak kepada suatu ideologi perosak yang dipanggil aku tidak pedulisme? (sila rujuk saifulislam.com untuk mendapatkan perbahasan yang menarik tentang isu ini)

Isu terkini: Pilihan Raya Umum (PRU)

Apabila para menteri kabinet telah mengambil gambar bersama, SPR mula menerangkan tentang kaedah mengudi dan sebagainya, mungkin sudah cukup bagi kita menjangkakan bahawa PRU bakal tiba.

Saya masih tidak boleh mengundi. Saya bukan ahli politik. Adakah alasan ini relevan untuk tidak mengambil tahu tentang PRU dan politik negara? Atau ini hanyalah manifestasi pemikiran aku tidak pedulisme yang sedang melanda kita dan sahabat-sahabat pelajar kita.

PRU akan menentukan siapa yang bakal memimpin negara. Siapa yang memimpin akan menentukan hala tuju negara. Hala tuju negara akan menentukan bagaimana negara dan rakyat ditadbir. Kita adalah sebahagian daripada warganegara. Pastinya PRU ada kaitan dengan kita.

Meskipun setelah beberapa siri PRU, mungkin kita masih gagal merasakan kesannya, tanyalah kepada ibu bapa kita, pakcik makcik kita yang sudah masuk ke alam pekerjaan dan menjadi pimpinan dalam keluarga. Apabila harga minyak meningkat, harga tol turut tidak ketinggalan, pastinya akan menambah beban mereka. Pertambahan gejala sosial di kalangan remaja, mungkin kita boleh mendabik dada. Heh, Alhamdulillah, aku tidak terlibat. Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, adik kita, sepupu kita dan saudara sepapat kita yang lain akan terjebak. Nau’zubillah.

Adakah ini masih dianggap tidak ada kaitan dengan kita? Janganlah setelah ada saudara kita yang terkesan, barulah kita kelam kabut menyalahkan pihak itu dan ini, sedangkan selama ini kita tidak pernah peduli.

Bukanlah saya bermaksud untuk menyalahkan kerajaan 100%, tapi pastinya gejala-gejala ini ada kaitannya dengan ahli-ahli yang berada di dalam parlimen yang dipilih hasil PRU.

Sekurang-kurangnya, ambillah peduli…

Sekalipun kita mungkin tidak berpeluang untuk membuang undi pada PRU nanti, sekurang-kurang ambillah tahu tentang perkembangan parti politik yang bertanding. Apabila pihak BN menyatakan pada PRU yang lepas, bahawa pembanterasan rasuah adalah agenda utama, gagasan Islam Hadhari dan lain-lain, sejauhmanakah mereka telah merealisasikan apa yang mereka janjikan? Apabila kerajaan PAS di Kelantan telah mengisytiharkan Kota Bharu Bandaraya Islam, sejauhmanakah hal itu berjaya dibuktikan oleh mereka? Dan lain-lain janji-janji yang telah ditaburkan.

Bersama kita tingkatkan bacaan isu-isu terkini. Dapatkan maklumat yang adil daripada kedua-dua belah pihak sama ada daripada pihak parti pemerintah ataupun pembangkang. Nilailah dengan adil, mahasiswa/i seharusnya telah mampu bagi kita untuk menilai dengan baik dan adil.

Ambillah TAHU, moga ia membentuk MAHU, kerana kita bakal menerajui negara pada masa hadapan.

Bacaan yang dicadangkan:

  1. Aku tidak pedulisme – http://saifulislam.com/?p=466
  2. Saya bukan ahli politik. Tapi… http://saifulislam.com/?p=1000
  3. Pilihan raya dan kemusykilan minda muda – http://saifulislam.com/?p=1359

P/S: Maaf, saya bukan “taksub” saifulislam, cuma ini adalah antara tulisan yang saya temui yang mencerahkan isu ini. Sekiranya anda mempunyai laman-laman yang mencerahkan, silalah berkongsi dalam comment