Seruan hikmah


Apa yang jelas apa yang tepat? 

“Kita mesti menang dalam perlawanan ini. Perlawanan ini sangat penting!” beritahu si jurulatih semasa waktu rehat sementara menanti separuh masa kedua.

 

Dalam keletihan, semangat pemain berkobar semula sekalipun telah ketinggalan 0-2 dengan pasukan Kelantan. Atas sikap yang proaktif, kapten pasukan Selangor bertanya kepada jurulatih,

 

“Apa strategi kita untuk separuh masa kedua ni, Sir?”

 

“Yang penting, kita jaringkan gol sebanyak mungkin dan jangan biarkan gawang kita dibolosi lagi. Ok, itu sahaja!” jawab jurulatih dengan penuh yakin.

 

“Tapi…itu bukan strategi…” sang kapten menginginkan penjelasan.

 

“Sudah, kalau awak semua ikut arahan saya, pasti menang!”jawab si jurulatih.

 

Para pemain tercengang…

 Kenapa tercengang? 

Pemain tercengang bukan kerana keeogaan sang jurulatih, tetapi adalah pada “strategi” sang jurulatih. Apa masalahnya? Bukankah kata-kata jurulatih itu tepat? Ya, tepat tapi tidak jelas.

 

Siapa yang tidak tahu bahawa untuk memenangi sebuah perlawanan bola sepak adalah siapa yang paling banyak menjaringkan gol sinonim dengan apa yang diungkapkan oleh sang jurulatih. Tetapi apa yang diminta oleh para pemain adalah menjelaskan bagaimana untuk mencapai matlamat yang tepat itu?  Strategi “counter attack”, ataupun bagaimana?

 Matlamat yang jelas dan tepat 

Kisah di atas hanyalah kisah rekaan semata-mata . Mungkin mesejnya jelas, akan keperluan mempunyai matlamat yang tepat lagi jelas.

 Sebagai mahasiswa 

Dalam konteks sebagai seorang mahasiswa/i, tanyalah diri, “untuk apa aku belajar?” Soalan ini akan menentukan hala tuju hidup kita selama bergelar siswa/i. Mungkin sesetengah daripada kita, ada yang belajar kerana ingin menjadi kaya, ingin memenuhi harapan ibu bapa, mahukan keredhaan Tuhan dan sebagainya. Bukanlah medan penulisan ini untuk menentukan tepat atau tidak tepat matlamat kita, tapi biarlah neraca Tuhan menjadi kayu ukur akan ketepatan matlamat kita.

 

Ramai di kalangan kita secara sedar atau tidak menghadapi masalah sepertimana para pemain Selangor di atas. Matlamat yang tepat tetapi tidak jelas. Kita mungkin boleh menjawab persoalan kenapa aku belajar dengan mudah, tetapi sejauhmana kita jelas mengenainya?  

 

Buktinya, bagi yang menetapkan belajarnya kerana ingin beribadah kepada Tuhan, kenapa semangat dan roh ketelitian mereka dalam ibadah khusus seperti sembahyang tidak konsisten dalam belajar, yang juga dikatakan ibadah? Ketidak jelasan dalam matlamat membawa implikasi tindakan-tindakan yang hanya diRASAkan bertepatan dengan matlamat tetapi hakikatnya tidak menyumbang kepada tercapainya matlamat yang tepat. Sebagai contoh, akibat budaya kerja yang tidak terancang, aktiviti plagiat secara buta tuli (tanpa memahami apa yang ditulis) sering diamalkan dengan “hujah” untuk menyempurnakan amanah tugasan tutor. Adakah tindakan ini selari dengan tujuan belajar kerana Tuhan?

  Rancanglah strategi anda daripada sekarang 

Tepat pada matlamat, jelas pada starategi adalah ramuan kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun. Suka saya memberi contoh watak Fahri daripada novel Ayat-ayat Cinta yang digambarkan oleh Kang Abik sebagai seorang mahasiswa yang memenuhi ramuan ini. Matlamat belajarnya kerana Tuhan disertakan dengan perancangan mingguan, bulanan dan tahunan dan hal ini menyumbang kepada berjayanya watak ini dalam menelusuri cabaran hidup di Mesir.

 

Sebagai pengakhiran, saya ingin menyeru terlebih dahulu diri saya sendiri dan rakan seperjuangan yang dikasihi, ambillah masa untuk menyusun dan menambahbaik starategi hidup anda. Semoga kejayaan menjadi milik kita bersama dalam membina diri menjadi graduan yang lebih “manusia”

 

shah2873

Tulisan ini Insyaallah akan diterbitkan dalam risalah Bicara Minda dan Hati untuk edisi khas Seminar Langkah bermula.

P/S: Maaf kerana lama tidak mengemaskini. Kelas sudah bermula, Laptop masih lagi tersadai mungkin menjadi alasan yang bernas untuk tidak mengemas kini blog ini.

Tiada entry gambar-gambar kerana menggunakan komputer universiti

Kisah di pasaraya 

Seorang jurujual datang kepadaku, mempamerkan produk, minyak wanginya.

“Abang, mahu cuba ini minyak wangi. Baru sampai punya.”

Sekadar mencuba, apa salahnya. Aku menghulurkan tanganku. Jurujual dengan muka yang tersenyum lebar, memicik punat minyak wangi ke arah tapak tanganku.

Wangi juga, tapi aku deria bauku memberontak, semacam bau ini tidak sesuai untukku. Dengan penuh sopan, aku mengucapkan terima kasih dan memohon untuk meninggalkan jurujual itu tanpa membeli produknya.

“Abang, abang. Kenapa abang tak mau ini minyak wangi? Ramai orang sudah beli.”

Gambar perhiasan 

Aku tersentak sedikit. Soalan jurujual ini semacam nada mendesak. Aku datang ke pasaraya ini bukan untuk membeli produknya. Bahkan, aku baru sahaja membeli minyak wangi tempoh hari, dan aku berasa selesa dengan aroma dan kualitinya. Demi menamatkan perbualan kami secepat mungkin dan menjaga adab-adab dalam berbicara, aku menyatakan,

“Maaf, saya tak bawa wang yang banya hari nih,” jawabku dengan jujur.

“Takpe, abang boleh bayar ansur-ansur. Kami menyediakan skim ansur-ansur ni…”jawab jurujual

“Maaf, saya tak suka bayar ansur-ansur nih..”aku menjawab dengan nada yang mula menunjukkan bibit marah.

Eh, tak faham-faham ke, si jurujual ini. Aku tak mahu beli sudah la. Sama ada tak faham atau buat-buat tak faham, jurujual itu masih mencuba,

“Ala, bang. Ramai orang buat camni juga…” terang sang jurujual.

Aku mula berang. Butang “pause” diriku ditekan. Aku cuba mengatasi emosi marahku dengan akal yang rasional. Adab berbicara perlu dijaga. Lantas aku menyatakan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak perlu semata-mata untuk “melepaskan” diri,

“Maaf ye. Saya baru sahaja beli minyak wangi 2-3 hari yang lalu…”

“Produk apa yang abang beli? Boleh saya tahu? Mana lagi bagus..? Apa…. Di mana….” bertalu-talu saya diajukan soalan, mengalahkan polis yang menjalankan aktiviti soal siasat.

“Produk ini ada cop Halal Jakim punya…”

“Minyak wangi saya juga ada…”aku membalas.

Kalau anda…

Sekiranya anda di tempat saya, apa yang anda lakukan?

  • Terus berjalan meninggalkan jurujual tadi dari awal-awal lagi. Memang tak salah, bahkan sebagai pengguna anda berhak menggunakan hak tersebut
  • Menengking, mengherdik atau apa-apa yang sewaktu dengannya?

Dan apa-apa lagi tindakan yang dirasakan berpijak di bumi rasional yang mampu anda lakukan.

Refleksi diri

Maaf, kisah di atas hanyalah rekaan semata, sekiranya anda pernah menghadapi, mungkin anda lebih memahaminya. Tapi apa yang ingin difokuskan adalah kisah di atas adalah sebuah kisah konseptual yang boleh juga berlaku untuk situasi yang lain.

Boleh sahaja ditukarkan watak jurujual kepada watak jurujual yang lain, bahkan seorang penyeru kepada kebaikan juga boleh ditukarkan kepada watak tersebut. Sekiranya seorang pendakwah (penyeru kepada kebaikan) apabila telah diajak seseorang untuk menghadiri ke majlisnya, kemudian telah diberikan hujah-hujah yang munasabah oleh yang diajak, maka berhentilah sekadar itu. Berhenti dengan maksud, janganlah didesak seolah-olah kita menampilkan ketidak percayaan kita kepada pihak yang diajak. Berhentilah daripada perasaan sangka buruk bahawa pihak yang diajak sengaja mencpta alasan untuk mengelakkan diri.

Tambahan dalam kisah tersebut, digambarkan juga bahawa  aku telahpun mempunyai minyak wangi yang lebih menepati jiwaku yang juga mempunyai cop halal JAKIM. Cuba mengaitkan dengan situasi menyeru kepada kebaikan, mungkin apabila pihak yang diajak sudahpun memberitahu bahawa dia telah memberikan komitmen kepada majlis yang lebih menepati fitrah jiwanya yang mempunyai matlamat yang sama, maka hormatilah keputusan yang telah diputuskan.

“Seek to undertand then to be understood.” Begitulah kata Covey dalam salah satu tabiat efektif bagi seorang insan. Buat sang penyeru, cuba letakkan diri anda di pihak sang yang diajak sekiranya anda didesak dan kurang diberi kepercayaan oleh seseorang. Seperti mana watak “aku” dalam kisah di atas, yang mungkin cenderung untuk memarahi, meninggalkan si jurujual dengan begitu sahaja, mungkinkah tindakan yang sama boleh dilakukan oleh pihak yang diajak sekiranya mereka diperlakukan begitu? Sama-samalah kita fikirkan.

Akhir kata, suka untuk saya nukilkan tulisan Ibnu Jauzi dalam kitabnya Belitan Iblis, edisi terjemahan yang menyebutkan tipu daya iblis buat sang ulama’ ataupun pendakwah (pendakwah adalah tambahan daripada saya sendiri). Seorang ulama’ mungkin akan terasa kecil hati apabila muridnya yang selalu menghadiri majlis beliau tiba-tiba jarang pula hadir ke majlisnya kerana menghadiri majlis ulama yang lain. Terasa hati itulah hakikatnya belitan iblis buat sang ulama.

Saranan Ibnu Jauzi rh, adalah ulama seharusnya menjadi seperti doktor. Tidak kisah ke mana si pesakit pergi, asalkan si pesakit itu sembuh, maka sang doktor akan berpuas hati. Mungkin contoh Ibnu Jauzi sesuai untuk zamannya kerana mungkin zaman kini, sikap ini mungkin lagi kurang relevan.

Kesimpulannya, tugas penyeru adalah membawa yang diseru kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Gembira sekiranya yang diajak sudi bersama kita untuk melakukan tugas ini, tetapi andai hal itu tidak berlaku, berlapang dadalah. Cukuplah bagi sang penyeru untuk merasa puas andai yang diseru menjadi orang yang diingininya.

Wallahu’alam.