Uncategorized


Hijau menjadi pilihan…

 

Sudah sekian lama saya tidak mengemaskinikan blog. Nyatalah menjadi blogger itu tidak semudah menerbitkan blog. Walau apa pun, dengan sukacitanya, saya ingin menjemput saudara, guru-guru, para sahabat dan teman yang mengenali saya untuk hadir ke majlis walimah yang akan diadakan pada 25 Januari di Kelana Jaya.  Sila rujuk kad jemputan…

Insyaallah saya akan pulang ke Malaysia pada 25 Disember ini. Kurang dari sebulan sebelum walimah. Maka saya menyusun 10 jari memohon maaf buat kenalan di Malaysia, kerana tidak berkesempatan untuk menghantar surat secara ‘live’ pada anda. Moga kad maya ini menjadi pengganti diri buat anda.

Oleh itu, kepada mereka yang berkesempatan untuk hadir, silalah email saya, shah2873@yahoo.com atau isi di ruangan komen dan kenalkan diri anda. Moga memudahkan saya untuk membuat anggaran kehadiran.

Kerjasama anda amatlah dihargai.

P/S: Tahniah kepada design dan insan yang bertungkus lumus dalam memastikan kelancaran majlis ini. Doakan kami moga terus diberkati…

Tulisan ini adalah contoh yang kedua kepada tajuk sebelum ini. Cuma terasa terlalu panjang untuk dimuatkan dalam risalah Bicara Minda dan Hati. 

Sebagai warganegara… 

“Kita mahukan Daulah Islamiyah.”

 

“Runtuhkan Jahiliyah…” mungkin begitu sinonim kita mendengar kata-kata tersebut bagi mereka yang mempunyai semangat Islam yang tinggi.

 

Tidak tepatkah matlamat itu. Ya, pastinya tepat. Namun seruan yang hebat itu, andai tidak dipandu dengan strategi yang jelas, mungkin hanya menimbulkan polemik di dalam masyarakat. Apa jawapan kita, seandainya ditanya oleh mereka yang sememangnya sedikit alergi dengan terminologi itu, anda menyeru kepada negara Islam, apa ciri-ciri negara Islam?

 

Jawapan sekadar mengungkapkan mestilah berdasarkan Quran dan Sunnah dan mengikuti model Khulafa’ Ar-Rasyidin pastinya akan menimbulkan pelbagai persoalan lagi. Masalah yang kian berevolusi sejak 1400 tahun, meskipun mempunyai persamaan dari sudut coraknya, pastinya memerlukan jawapan yang lebih jelas daripada itu.

 

Maka, di sebalik kesibukan kita dalam mendidik diri menjadi insan yang sahih ibadah dan sejahtera aqidahnya yang dengan tegas saya nyatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada keutamaan kita, ambillah sedikit masa “menjenguk” apa yang Islam tawarkan dalam persoalan politik dan negara Islam dalam konteks yang lebih kontemporori.

 

Bukankah Islam itu syumul? Bahkan usul pertama daripada usul 20, Hasan al-Banna rh ada menyatakan tentang Islam itu  adalah daulah dan tanah air?

 

Janganlah semata-mata kita rasakan kita bukan ahli politik menyebabkan kita secara tidak sengaja telah meninggalkan suatu bahagian daripada Islam, iaitu urusan daulah dan politik.

 

Selesai membaca Fiqh Daulah tulisan Syeikh Qaradhawi hfz dan Islam dan Demokrasi tulisan Tuan Guru Haji Hadi sedikit sebanyak memberikan banyak pencerahan buat saya dalam hal ini. Pelbagai syubhat tentang politik Islam telah dijawab dengan baik dalam Fiqh Daulah.

 

Oleh itu, sebagai promoter tanpa bayaran, bagi mereka yang berpeluang untuk memiliki buku-buku ini, silalah dapatkan. Bagi sahabat-sahabat seAdelaide, saya sudi memberi pinjam andai ada yang mahu meminjam. Percuma Insyaallah =)

shah2873

P/S: Silalah jemput ke perpustakaan mini saya di Town House 49 =)

Kenyataan yang pelik (Pernahkah anda dengar?) 

“Mesti dia seorang pemimpin yang hebat. Muka dia kacak. Siap berjambang lagi…”

“Buku ini mesti menarik kerana kulitnya yang cantik…”

“Ini adalah sekolah yang bagus kerana pelajarnya kebanyakannya terdiri daripada orang-orang kaya…”

Pelik sekali kita mendengar ayat-ayat di atas. Hakikatnya kata-kata di atas hanyalah rekaan saya semata. Andaikan sekiranya anda menemui kawan anda yang membuat kenyataan seperti ini, apa respon anda?

Mungkinkah…

Tak tahu menilai langsung kawan aku sorang ni.

Penat-penat penulis buku yang hebat itu membuat kajian sebelum menulis, rupa-rupanya yang menjadi ukuran awak hanyalah kulit bukunya.

Dan macam-macam lagi yang mungkin pelbagai lagi reaksi daripada kita. Walau apa pun kemungkinan-kemungkinan respon yang bakal kita berikan, saya berpendapat ia tidak akan lari daripada kita mengatakan tentang kurang bijaknya orang yang berkata demikian kerana menilai sesuatu perkara dengan menggunakan kayu ukur yang salah.

Andainya aku dilantik…. 

dsc02677-medium.jpg

Kenangan bersama sahabat di KMB (tiada kaitan) 

Bayangkan kita dilantik menjadi pemimpin badan pelajar sebuah universiti. Setelah berhempas pulas kita bekerja, berwacana, berpidato, membuat kajian tentang isu-isu kolej yang bakal dilakukan perubahan dalam manifesto, rupa-rupanya bukan usaha itu yang pengundi nilaikan. Hanyalah paras rupa yang menjadi ukuran.

Mungkin tompok-tompok kebanggaan muncul di hati, “Pehh…orang cakap aku kacak…” Tapi sejauhmana kejayaan ini benar-benar bermakna buat diri kita?

Dengan penuh kesedaran bahawa setiap usaha demi manfaat manusia yang lainnya akan diberi ganjaran olehNya, tapi di dalam hati kita pastinya berasa kecewa, kerana sistem nilai pengundi telah jauh menyimpang daripada pemikiran yang matang selaku mahasiswa. Bahkan mungkin kita merasa lebih rela tidak diangkat menjadi pimpinan pelajar daripada diangkat semata-mata kerana paras rupa. Jiwa kita seolah-olah terpukul dengan bentuk “penghinaan” sedemikian…

Menilai kemantapan sesebuah organisasi Islam dengan kayu ukur yang benar

dscf0886.jpg 

Makan bersama 

Dalam entry sebelum ini, “Detik-detik hidupku 2”, antara penyumbang utama kepada ‘tersangkutnya’ penulisan itu, adalah kekhuatiran saya akan salah faham yang mungkin akan timbul selepas saya membincangkan tentang Ikhwanul Muslimin (IM) dan mimpi Ukh Zainab al-Ghazali.

Hakikatnya tulisan itu hanyalah ingin mengajak kita untuk menilai perjuangan IM dengan kayu ukur yang tepat, iaitu dengan kaca mata Al-Quran dan Hadith yang difahami dengan kaedah yang tepat. Sekiranya kita menilai kebenaran IM semata-mata pada mimpi tokoh-tokohnya, bayangkan sekiranya anda adalah tokoh di dalam IM yang telah berusaha sedaya upaya demi melaksanakan perjuangan berdasarkan petunjuk wahyu, tiba-tiba ada pihak yang hanya menyandarkan pada mimpi, apa perasaan anda?

Sepertimana kita akan berasa kecewa sekiranya kita dinilai dengan kayu ukur yang salah, perasaan yang sama akan terbit daripada hati-hati para pejuang dan pengkagum IM.

Nilailah sesuatu dengan kayu ukur yang tepat kerana ia tanda kematangan pemikiran kita dan juga tanda hormat kita pada mereka yang memperjuangkan “sesuatu” itu. Kaedah ini tidak sekadar terhad kepada isu IM sahaja, tetapi dalam segenap hal dalam kehidupan seharian.

Wallahu’alam

P/S: Baru sahaja membeli beberapa buku dari Pustaka Fajar Ilmu Baru. Antara buku yang baru dibeli:

  1.  Manhaj Harakah Kaum Salaf tulisan Abdul Rahman Abdul Khaliq (RM 6.50)
  2. Gerakan Islam Menongkah Cabaran oleh Mustafa Muhammad Tahan (RM 9.50)
  3. Iman dan Harakah – Kisah Ghulam oleh Hisyam Soqr (RM 12.00)
  4. Punca dan Penyelesaian Gejala Kafir Mengkafir oleh Yusuf Al-Qaradhawi (RM 2.60)

Tiba-tiba minat pula pada buku-buku haraki nih…

shah2873

Bismillah dimulakan bicara,

Salamun ‘alaikum.

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam buat Rasulullah saw, ahli keluarga baginda dan para sahabat yang diredaiNya.

Sabda Nabi saw, “Hanyasanya amalan itu dengan niat…” (HR Bukhari dan Muslim) Al-Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, telah meletakkan hadith ini sebagai hadith yang pertama sekalipun di bawah bab penurunan Wahyu. Para ulama terkemudian cuba membuat tafsiran, apakah faktor yang menyebabkan al-Imam meletakkan di dalam bab yang penurunan wahyu, sedangkan hadith ini tidak nampak perkaitannya.

Antara tafsiran ulama terkemudian, adalah al-Imam Bukhari ingin mengingatkan pembacanya untuk membetulkan niat sebelum membaca kitab Sahihnya. (Rujuk: Syarah Arba’in Ibn Daqiqil, Kuliah Syarah Riyadhus Solihin, MAZA)

Siapalah saya untuk menyamakan blog ini dengan kitab Sahih Bukhari yang telah berkhidmat kepada billion umat Islam hingga kini, tapi rasanya seruan yang sama adalah perlu dalam setiap keadaan. Rasanya dah terlebih lajak pula dengan syarah hadith, apa-apa pun harapan saya moga blog ini, seperti tema yang ditetapkan (tak tentu lagi…mungkin berubah) “Reach out” dapat menepati objektifnya, yakni memberi ruang dan peluang untuk saya berkongsi sebarang ilmu yang bermanfaat.

Sekian sahaja untuk entry kali ini. Selamat membaca.